PETALING JAYA, 20 OGOS: Menyedari wanita bergelar ibu mendepani cabaran besar dalam kehidupan masa kini, Caring Moms (Ibu Prihatin) mengambil inisiatif membantu golongan itu dengan terbabit aktif dalam aktiviti berfaedah khususnya perniagaan.
Pengasasnya, Shera An Bosco, berkata program digerakkan kumpulan itu mengambil kira kepentingan wanita khususnya berstatus ibu yang lazimnya banyak berkorban dalam hidup demi kebahagiaan keluarga masing-masing.
“Caring Moms ingin membantu golongan ini dengan mewujudkan peluang pekerjaan yang sesuai kepada mereka demi meningkatkan kualiti hidup serta ekonomi keluarga.
“Kebanyakan mereka terpaksa meninggalkan kerjaya ekoran keperluan mendesak dalam hidup serta mementingkan keluarga dan menjaga anak-anak,” katanya.
Caring Moms memulakan atas usaha Shera bersama Umesh Narasimhaiah di laman sosial Facebook sejak April lalu dan mendapat sambutan menggalakkan dengan berjaya menghimpunkan kira-kira 50,000 pengikut hingga kini.
Hasil inisiatif bersama, kumpulan itu berjaya menjalankan program Caring Moms Bazaar di Evolve Concept Mall, Ara Damansara, di sini, bermula hari ini hingga esok.
Turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah penerbit majalah Upin & Ipin, Tunku Maziah Tunku Datuk Mukhtar dan disertai Datuk Norhuda Ahmad serta tetamu lain.
Ia disertai 100 peserta dengan 80 daripadanya adalah kalangan ibu dengan perniagaan masing-masing manakala selebihnya adalah kumpulan korporat.
Shera berkata, pihaknya berharap dengan usaha digerakkan itu dapat membantu kumpulan terbabit untuk menikmati kehidupan lebih baik.
“Bazaar ini bukan setakat memberikan ruang untuk menjalankan perniagaan malah ia adalah kesempatan untuk berinteraksi dan memberi motivasi antara satu sama lain.
“Dengan cara ini juga kita mampu meluaskan jaringan perniagaan hasil kerjasama semua,” katanya.
Bagi mereka yang berminat untuk turut serta bersama Caring Moms, boleh melayari laman sesawang: http://caringmoms.my atau menghubungi mereka di https://www.facebook.com/groups/caringmoms
Credits: Selangor Kini